Pendermaan organ dan tisu selepas kematian hanya akan dijalankan setelah kebenaran diterima daripada waris atau keluarga terdekat. Oleh itu, jika anda mempunyai hasrat untuk menderma atau telah berikrar untuk menjadi penderma organ, adalah penting jika hasrat murni ini disampaikan kepada keluarga anda. Di sisi undang-undang, kebenaran daripada waris atau keluarga terdekat wajib diperolehi sebelum pendermaan organ boleh dilakukan.

Terdapat dua jenis pendermaan organ selepas kematian bagi tujuan transplantasi. Di Malaysia, seseorang yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian otak (brain death) boleh mendermakan semua jenis organ dan tisu. Kematian otak adalah keadaan di mana segala fungsi otak telah terhenti (akibat keadaan seperti trauma teruk kepada kepala atau aneurisme) dan tidak boleh dipulihkan semula. Seseorang yang mati otak tidak dapat bernafas sendiri dan bergantung sepenuhnya pada mesin sokongan hayat (ventilator). Kematian otak adalah kematian yang sah dan diterima di seluruh dunia oleh kumpulan professional serta diakui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan 2011). Bagi mengesahkan kematian otak, penilaian kematian otak dijalankan oleh pakar perubatan (yang tidak terlibat dalam proses perolehan dan pembedahan transplantasi) terlatih dan dilaksanakan sebanyak 2 kali.

Pada masa ini, di Malaysia, pesakit yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian jantung terhenti (cardiac death), boleh mendermakan semua jenis tisu (termasuk kornea, injap jantung, tulang dan kulit) sahaja. Kematian jantung terhenti adalah keadaan di mana semua fungsi jantung terhenti dan ini merupakan punca utama kematian di Malaysia (2020).