Pandangan Agama
Pendermaan Organ Menurut Perspektif Islam
Rawatan pemindahan organ terbukti berjaya merawat pesakit-pesakit yang menghidap masalah kegagalan organ peringkat akhir. Usaha merawat penyakit ini bertepatan dengan Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi berikut (terjemahan) :
Daripada Usamah Ibn Syarik, beliau berkata, sekumpulan orang Badawi berkata, “Ya Rasulullah, bolehkah kami mendapatkan rawatan?” Baginda menjawab, “Ya boleh, wahai hamba-hamba Allah, dapatkanlah rawatan kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan (Dia) menentukan pula untuknya penyembuhan atau ubat kecuali satu penyakit”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah penyakit itu?” Baginda bersabda, “Penyakit tua”.
Justeru itu, fatwa dibuat berlandaskan kepada prinsip-prinsip penentuan hukum syariah yang berikut :
- Al-Quran
- Al-Sunnah
- Al-ljmak (persepakatan para ulama)
- Al-Qias (perbandingan antara hukum-hukum yang sudah ada dengan hukum-hukum yang baharu).
- Al-Istihsan (mengutamakan yang terbaik mengikut hukum Fiqh).
- Al-Masalih Mursalah (yang diterima baik dan diamalkan secara berterusan)
- Sad Al-Zaraee (menutup hukum keburukkan daripada berleluasa).
- Syar’u Man Qablana (sumber hukum dan pandangan daripada ulama terdahulu).
- Istishab (hukum yang diambil oleh para sahabat).
- ‘Amal Ahli Madinah (pelaksanaan hukum yang dilaksanakan oleh penduduk Madinah).
Asas Keharusan Pemindahan Organ
Segala urusan itu mengikut tujuannya
Dalam kaedah Fiqah ini, sesuatu perbuatan itu dinilai berdasarkan niat dan tujuan ia dilakukan. Tujuan pemindahan organ adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit dan mampu mengelakkan kemudaratan yang lebih besar dengan melakukan kemudaratan yang lebih ringan. Pemindahan organ tidak dilakukan dengan niat untuk menghina atau menyeksa mayat, sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menyelamatkan nyawa.
Kemudaratan Perlu Dihilangkan
Menghilangkan kemudaratan yang menimpa manusia ialah salah satu matlamat syariah. Dalam konteks pemindahan organ, rawatan ini memenuhi matlamat memelihara nyawa manusia. Ganjaran yang Allah SWT janjikan kepada usaha menyelamatkan nyawa manusia amat besar seperti yang disebut dalam Al-Quran menerusi firman Allah SWT yang berikut (terjemahan) :
“..dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamtan hidup manusia semuanya..”
Al-Maidah (5):(32)
Di bawah kaedah ini, rawatan pemindahan organ memberi pilihan untuk memilih jalan yang paling kurang mudarat. Apabila berhadapan dengan situasi dengan dua kemudaratan, maka keutamaan perlu diberikan bagi mengelak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih kemudaratan yang lebih kecil. Dalam konteks pemindahan organ, kemudaratan yang lebih besar ialah membiarkan pesakit yang memerlukan organ itu meninggal dunia. Justeru, dalam keadaan ini kemudaratan yang lebih kecil perlu diberikan keutamaan iaitu mengambil organ daripada penderma bagi dipindahkan kepada penerima yang memerlukan organ tersebut.
Pemindahan organ ialah ikhtiar yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai suatu kemudahan bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh pesakit-pesakit kegagalan organ peringkat akhir. Ini bertepatan dengan ayat Al-Quran berikut (terjemahan) :
“..Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran…” Al-Baqarah (2) : 185
Fatwa-fatwa Berkaitan Pendermaan Organ
Fatwa-fatwa di Malaysia
Fatwa-fatwa Luar Negara
Soalan Lazim Berkaitan Pendermaan Organ Menurut Perspektif Islam
Adakah pemindahan organ sama dengan perbuatan menyeksa mayat
Dalam sebuah Hadith Sahih Riwayat Ahmad (terjemahan) : Daripada ‘Aisyah RAH bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya perbuatan mematahkan tulang si mati samalah seperti mematahkan tulangnya semasa ia hidup”.
Memelihara nyawa ialah salah satu daripada Maqasid al-Syar’iyyah atau objektif syariah. Larangan yang dinyatakan menerusi Hadis ini terbatal apabila wujud keperluan yang lebih utama yang mengatasi larangan tersebut iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia. Niat di sebalik pendermaan organ adalah murni dan baik. Pemindahan organ dilakukan hanya apabila tiada alternatif lain bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
Proses pemindahan organ juga dilakukan dengan penuh cermat, teliti dan penuh penghormatan terhadap tubuh penderma yang sudah meninggal dunia sama seperti penderma yang masih hidup. Malah, proses pemindahan organ juga dijalankan dengan secepat mungkin bagi membolehkan urusan pengebumian jenazah tidak tergendala.
Manusia adalah sebaik-baik dan semulia-mulia ciptaan Allah SWT. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayatul-Quran yang berikut (terjemahan) :
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk lain yang Kami ciptakan.”Al-Isra'(17) : 70.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” An-Nisa (4) : (8).
Adakah penderma organ menanggung dosa orang yang menerima organnya
Tidak, kerana setiap orang mukalaf (baligh, berakal dan mumaiyiz) bertanggungjawab ke atas tindak-tanduknya sendiri. Allah SWT berfirman (terjemahan) :
“Katakanlah : Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (dosa) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu la menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” Al-Anaam (6) : (164).
Adakah orang yang mendermakan organnya akan dibangkitkan pada Hari Akhirat tanpa organ-organ yang telah didermakan
Hakikat kekuasaan Allah SWT membangkitkan semula manusia selepas semuanya hancur disebut dalam firman Allah SWT berikut (terjemahan) :
“Katakanlah : Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya, dan la Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya).”Ya Sin (36) : (79).
Bolehkah orang Islam menerima organ orang bukan Islam?
Tiada larangan dalam syarak bagi memindahkan organ orang bukan Islam kepada orang Islam. Ini kerana organ manusia tidak bersifat Islam atau kufur, sebaliknya organ ialah alat yang digunakan oleh manusia bagi melaksanakan tuntutan akidah dan manhajnya untuk hidup.
Apabila organ dipindahkan daripada orang bukan Islam kepada orang Islam, maka organ tersebut menjadi sebahagian tubuh badan orang lslam yang digunakan bagi tujuan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Bolehkah orang Islam menderma organ kepada orang bukan Islam
Dalam konteks Malaysia juga, orang bukan Islam dikategorikan sebagai kafir dzimmi iaitu mereka yang memberikan taat setia kepada negara dan wajib dilindungi, dibantu dan diselamatkan apabila berada dalam kesusahan atau kesakitan. Ini termasuklah menyelamatkan nyawa menerusi pemindahan organ. Jadi dalam konteks negara Malaysia, tidak timbul isu boleh atau tidak boleh menderma kepada orang bukan Islam kerana mereka wajib dibantu apabila berada dalam kesusahan. Hal ini diperjelas menerusi firman Allah (terjemahan) :
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” Al-Mumtahanah (60) : (8).