Bintu Huda Binti Muhamad Adnan,35

Penerima Organ Buah Pinggang

Saya mula didiagnos mengalami masalah buah pinggang pada usia 21 tahun. Gejala utama yang dihadapi adalah mengalami demam yang berpanjangan dan tekanan darah yang tinggi. Saya segera mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan telah dirujuk ke Jabatan Nefrologi.

Doktor telah mengesahkan saya mengalami masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis. Pelbagai cabaran dan kesukaran perlu saya lalui sepanjang tempoh dialisis berkenaan.

Pengangkutan awam menjadi kegunaan utama saya sepanjang dialisis kerana faktor kewangan yang dialami. Saya juga terpaksa menagguhkan sesi pembelajaran dalam tempoh permulaan dialisis berkenaan kerana perlu menjalani rawatan sebanyak tiga sesi setiap minggu.

Saya sangat komited mengikut segala nasihat yang diberikan oleh doktor dan anggota kesihatan terutama berkaitan ubat dan pemakanan.

Tanggal 19 Mac 2023 merupakan tarikh istimewa dalam hidup saya setelah menerima panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur memaklumkan ada bakal penderma organ selepas kematian. Panggilan itu merupakan kali keenam diterima sepanjang tempoh menjalani sesi persediaan (workup) untuk pemindahan organ.

Alhamdulillah syukur kali ini ia merupakan rezeki saya.Pembedahan pemindahan organ berkenaan berjalan dengan lancar. Terdapat pelbagai perubahan yang positif saya alami setelah menjalani pemindahan organ seperti kesihatan lebih baik dan dapat menjalani rutin kehidupan dengan mudah.

Saya dapat kembali mengeluarkan air kencing seperti normal dan badan menjadi lebih segar selepas pembedahan. Kini saya kembali bekerja seperti orang normal, setelah hampir 14 tahun lamanya tidak bekerja akibat kekangan masa dalam menjalani dialisis.

Sebagai pesakit buah pinggang, saya amat berharap rakyat Malaysia terbuka hati untuk mendermakan buah pinggang (pendermaan selepas kematian) kepada pesakit yang mengalami kegagalan akhir organ agar dapat kembali menjalani kehidupan seperti orang normal. Ayuh rakyat Malaysia kita daftar sebagai pengikrar derma organ di MySejahtera.