Satu Ikrar, Sejuta Harapan
Kelayakan mendaftar Sebagai Pengikrar Penderma Organ
- Semua lapisan umur layak mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Namun, keizinan daripada ibu bapa / penjaga diperlukan bagi pemohon yang berusia kurang 18 tahun.
- Tiada pemeriksaan kesihatan diperlukan untuk menjadi pengikrar.
- Pendaftaran juga dibuka kepada warganegara asing.
Tanggungjawab Pengikrar
Sekiranya seseorang telah berdaftar sebagai pengikrar pendermaan organ, mereka perlu memaklumkan hasrat untuk menderma organ kepada ahli keluarga / waris.
Ahli keluarga dan waris merupakan pembuat keputusan bagi pendermaan organ selepas berlakunya kematian. Selepas berlaku kematian, kakitangan perubatan tidak akan melakukan pembedahan perolehan organ selagi ahli keluarga atau waris belum memberikan kebenaran.
Jika ahli keluarga dan waris sudah mengetahui hasrat untuk menderma, ini dapat membantu melancarkan proses pendermaan seperti berikut :
- Proses untuk mendapatkan keizinan bagi perolehan organ dan tisu oleh kakitangan perubatan akan menjadi lebih mudah ketika berlakunya kematian.
- Ahli keluarga juga akan berusaha untuk memaklumkan kepada pihak hospital mengenai hasrat untuk mendermakan organ dan tisu setelah seseorang itu meninggal dunia.
- Pihak hospital akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan ahli keluarga penderma berkaitan urusan pendermaan organ. Contohnya, keluarga berhak menuntut jenazah mengikut masa yang dikehendaki.