EXAMPLE Derma Organ

TESTING

Pendermaan organ ialah proses mendermakan organ seseorang untuk tujuan transplantasi (pemindahan organ). Ia boleh dilakukan dengan dua cara: pendermaan selepas kematian dan pendermaan semasa hidup. Bagi pendermaan selepas kematian seseorang itu boleh mendermakan lebih banyak organ dan tisu jika dibandingkan dengan pendermaan semasa hidup.

ORGAN DAN TISU YANG BOLEH DIDERMAKAN DI MALAYSIA

Organ:

• Jantung
• Paru-paru
• Hati (Hepar)
• Buah Pinggang

Tisu:

• Mata (Kornea)
• Injap jantung
• Tulang
• Kulit

PENDERMAAN ORGAN DAN MATI OTAK

• Dalam pendermaan organ dan tisu, kematian dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:-
a) Mati otak (brain death)
b) Kematian selepas jantung terhenti (cardiac death).

• Mati otak adalah keadaan di mana segala fungsi otak telah terhenti dan tidak boleh dipulihkan semula. Seseorang yang mati otak tidak dapat bernafas sendiri tetapi diberi pernafasan oleh mesin ventilator.

• Seorang yang telah disahkan mati otak bermakna sudah meninggal dunia. Ini adalah pendirian saintifik perubatan antarabangsa dan juga telah diterima oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (2011).

• Seseorang yang meninggal dunia secara mati otak boleh mendermakan kesemua organ (jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati) dan tisu (mata, injap jantung, tulang dan kulit). Manakala kematian secara jantung terhenti hanya boleh mendermakan tisu sahaja.

• Pendermaan organ selepas kematian hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran bertulis daripada waris/ahli keluarga.

• Bagi pendermaan semasa hidup, organ yang boleh didermakan ialah:
a) Salah satu buah pinggang
b) Sebahagian daripada hati

• Bagi pendermaan semasa hidup, kesesuaian untuk mendermakan organ akan dinilai terlebih dahulu oleh doktor. Dalam kes ini, penderma harus menjalani beberapa siri ujian bagi mengenalpasti tahap kesihatan penderma dan kesesuaian pendermaan organ terhadap penerima. Ini adalah bagi memastikan pendermaan organ semasa hidup dilakukan tanpa memudaratkan kesihatan dan keselamatan penderma.

• Pendermaan organ daripada penderma hidup yang mempunyai ikatan keluarga adalah lebih digalakkan. Sekiranya penderma tidak mempunyai ikatan kekeluargaan dengan bakal penerima, kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah diperolehi terlebih dahulu.

TRANSPLANTASI

• Transplantasi organ bermaksud pemindahan organ kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ bagi menggantikan organ yang telah rosak tersebut.

• Transplantasi organ merupakan kaedah rawatan yang terbaik bagi merawat kegagalan organ seperti buah pinggang, hati (hepar), jantung dan paru-paru. Untuk kegagalan hati (hepar), jantung dan paru-paru rawatan ini adalah satu-satunya kaedah yang dapat menyelamatkan nyawa pesakit. Manakala bagi pesakit kegagalan buah pinggang, ia dapat memberikan kualiti hidup yang lebih baik selain menjimatkan dalam jangka masa panjang.

• Transplantasi buah pinggang boleh dilakukan daripada penderma selepas kematian atau penderma hidup.
• Ia adalah rawatan terbaik terhadap pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir.
• Transplantasi buah pinggang dapat memanjangkan jangka hayat pesakit (berbanding kekal dengan rawatan dialisis) dan menjimatkan kos rawatan berbanding rawatan dialisis dalam jangka masa panjang.
• Dengan transplantasi buah pinggang, pesakit juga dapat menjalani kualiti hidup yang lebih baik kerana tidak lagi perlu bergantung kepada dialisis.

• Transplantasi hati (hepar) boleh dilakukan daripada penderma selepas kematian atau penderma hidup.
• Ia merupakan satu-satunya rawatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang mengalami kegagalan hati (hepar) tahap akhir.

• Transplantasi jantung dilakukan apabila pesakit telah mengalami kegagalan jantung (heart failure) dan tidak boleh dipulihkan lagi dengan rawatan ubat-ubatan.
• Walaupun sesetengah pesakit dapat dibantu dengan jantung mekanikal (mechanical heart device), transplantasi jantung merupakan rawatan yang lebih baik (definitive treatment) bagi kegagalan jantung.

• Transplantasi paru-paru dilakukan apabila pesakit telah mengalami kegagalan respiratori kronik dan tidak boleh dipulihkan lagi dengan rawatan ubat-ubatan.
• Di Malaysia, transplantasi paru-paru hanya dilakukan daripada penderma selepas kematian.

• Transplantasi tulang boleh menggantikan bahagian tulang yang rosak, contohnya disebabkan oleh barah atau trauma akibat kemalangan.

• Transplantasi kornea mampu mengembalikan semula penglihatan atau mengurangkan kerosakan dan kesakitan yang dialami oleh pesakit.

• Transplantasi injap jantung boleh menggantikan injap jantung yang rosak, contohnya pesakit kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah injap jantung (congenital) dan bagi pesakit dewasa yang mengalami kerosakan injap jantung.

• Kulit yang didermakan boleh digunakan untuk menampal bahagian tubuh yang kehilangan kulit akibat kelecuran atau kebakaran. Ia oleh mengurangkan kehilangan cecair dalaman badan dan risiko jangkitan, di samping mempercepatkan proses penyembuhan, mengurangkan kesakitan dan kesan parut.

PANDANGAN AGAMA

Di Malaysia, isu pemindahan organ telah dibincangkan sejak 1960-an. Hasilnya, fatwa mengenai pemindahan organ telah dikeluarkan pada tahun 1970 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 dan 24 Jun 1970 : khusus tentang pemindahan jantung dan mata.  Pendermaan organ dan tisu dihukumkan harus dan ia dibenarkan dalam Islam dengan syarat berikut:

a) Ia dijalankan dalam keadaan kritikal dan penting di mana kehidupan penerima bergantung kepada pemindahan organ, dan pemindahan yang mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya.

b) Dalam pemindahan jantung, kematian penderma mestilah dipastikan.

c) Tindakan yang perlu hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan organ yang terlibat.

d) Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma sebelum transplantasi (dalam kes-kes kematian biasa) atau dari ahli keluarga (dalam kes-kes kematian akibat kemalangan).

Keharusan menderma organ juga terikat kepada syarat-syarat berikut yang bertujuan untuk melindungi semua kepentingan selaras dengan undang-undang Islam:

a) Tidak memudaratkan penderma yang masih hidup seperti menyebabkan kematian atau hilang upaya (kehilangan pendengaran, penglihatan dan mobiditi);

b) Pemindahan dilakukan dengan kebenaran daripada penderma;

c) Kebenaran diperoleh daripada penderma yang mengikut undang-undang dan mampu untuk berbuat demikian. Oleh itu , kebenaran tidak boleh diberikan oleh kanak-kanak, pesakit mental yang tidak boleh membuat keputusan rasional, di bawah tekanan atau dipaksa untuk menderma;

d) Tidak dijalankan dengan cara yang boleh melanggar martabat manusia seperti perdagangan organ. Ia perlu dilakukan atas sebab-sebab altruistik;

e) Doktor yang terlibat dalam pemindahan organ mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menilai penderma dan penerima berdasarkan prinsip maslahah (manfaat) dan mafsadah (kemudaratan) mengikut undang-undang Islam.

Pada 13 Disember 1989, mati otak diterima sebagai kematian dan dengan itu pendermaan organ adalah dibenarkan.

Pada 21 Jun 1995, penggunaan graf tisu untuk tujuan perubatan adalah diharuskan.

Agama Buddha menerima pendermaan organ dan transplantasi. Menurut K. Sri Dhammanenda Nayake Therra, menderma bahagian tubuh badan seperti mata, buah pinggang dan lain-lain adalah satu perbuatan yang mulia.

Ia menggalakkan pendermaan organ dan tisu selagi tiada unsur pengkomersilan terlibat.

Agama Hindu adalah satu agama berasaskan kepada kasih sayan, belas kasihan dan murah hati. Ia adalah aspek praktikal yang menjadi pegangan penganut-penganut agama Hindu.

Seorang penganut agama Hindu boleh mendermakan apa saja termasuklah organ-organnya baik semasa hidup atau selepas meningal dunia. Kesimpulannya, agama Hindu tidak menghalang penganut-penganutnya untuk menderma organ sekiranya ia dapat menyelamat nyawa orang lain.

Agama Kristian menggalakkan penganutnya membantu mereka yang memerlukan rawatan pemindahan organ bagi menggantikan organ-organ mereka yang tidak berfungsi.

Walau bagaimanapun, pendermaan organ hendaklah dikawal dengan undang-undang dan etika, bagi mengelakkan jual beli dan eksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada dasarnya, agama Sikh tidak melarang pendermaan mata dan organ-organ lain.

Menderma mata dan organ-organ lain selepas kematian merupakan satu pemberian yang tidak ternilai untuk seseorang.