Pendermaan selepas kematian amat digalakkan kerana ia tidak melibatkan sebarang risiko kepada penderma berbanding pendermaan semasa hidup.

Di samping itu, pelbagai jenis organ dan tisu dapat didermakan kepada ramai pesakit yang memerlukan pemindahan organ.

Malaysia mempunyai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang sangat tinggi. Kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan muda yang mempunyai tahap kesihatan yang baik. Sekiranya waris kepada mangsa kemalangan ini bersetuju untuk mendermakan organ dan tisu, lebih ramai pesakit yang memerlukan pemindahan organ akan dapat diselamatkan tanpa menunggu masa yang lama.

Sehingga kini, lebih daripada 17,000 orang pesakit yang berada dalam senarai menunggu organ terutamanya buah pinggang. 

Pendermaan Organ Dan Tisu Daripada Penderma Mati Otak

tahukah-anda-1-bm

Penderma yang mati otak boleh mendermakan organ iaitu jantung, paru-paru, hati, buah pinggang manakala tisu iaitu kornea, injap jantung, tulang dan kulit.

Ianya mampu menyelamatkan banyak nyawa dan memberi kehidupan baharu kepada ramai pesakit yang memerlukan.

Penderma yang mendermakan dua buah pinggang boleh membantu empat orang pesakit: dua orang yang menerima pemindahan buah pinggang tersebut dan dua orang lagi yang  akan mendapat tempat di dalam program dialisis yang dikosongkan.

Pendermaan jantung, paru-paru dan hati dapat memberi harapan kepada sekurang-kurangnya tiga atau empat pesakit.

Pendermaan mata akan memberi penglihatan kepada sekurang-kurangnya dua orang yang buta kerana kerosakan kornea.

Manakala tulang yang didermakan boleh dimanfaatkan oleh seramai tiga puluh pesakit yang memerlukan graf tulang untuk menggantikan bahagian tulang yang perlu dibuang kerana barah atau kemalangan dan sekali gus dapat menyelamatkan anggota badan tersebut.

Pendermaan kulit digunakan dalam kes kebakaran atau kelecuran bagi mempercepatkan proses penyembuhan serta mengurangkan risiko jangkitan kuman yang boleh mengancam nyawa.