Pendermaan organ dan tisu selepas kematian hanya akan dijalankan setelah kebenaran diterima daripada waris atau keluarga terdekat. Oleh itu, jika anda mempunyai hasrat untuk menderma atau telah berikrar untuk menjadi penderma organ, adalah penting jika hasrat murni ini disampaikan kepada keluarga anda.

Di sisi undang-undang, kebenaran daripada waris atau keluarga terdekat wajib diperolehi sebelum pendermaan organ boleh dilakukan walaupun seseorang telah berikrar semasa hidup.

Perdapat dua jenis kematian bagi tujuan transplantasi iaitu kematian otak dan kematian jantung terhenti.

MATI OTAK

Di Malaysia, seseorang yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian otak (brain death) boleh mendermakan semua jenis organ dan tisu.

Kematian otak berlaku apabila tiada pengaliran darah serta oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak, termasuk tbatang otak (bahagian otak yang mengawal fungsi kehidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan.

Apakah punca yang boleh menyebabkan kematian otak?

Otak mengawal semua fungsi utama di dalam badan manusia termasuk pergerakan, denyutan jantung dan pernafasan. Semua fungsi utama otak termasuk denyutan jantung dan pernafasan akan terhenti apabila otak disahkan telah mati.

Kematian otak boleh terjadi akibat kecederaan atau pendarahan teruk yang berlaku pada otak. Kebanyakan kematian otak adalah berpunca daripada:

  • Kemalangan jalan raya
  • Barah otak
  • Angin ahmar(stroke);
  • Pendarahan spontan akibat tekanan darah tinggi atau saluran darah tidak normal, contohnya seperti arterioveneous malformation
  • Jangkitan otak (encephalitis)

Apabila keadaan di atas berlaku, otak akan membengkak dan seterusnya menyebabkan tekanan di dalam rangka kepala meningkat. Ini menjejaskan pengaliran darah yang membawa oksigen daripada jantung ke otak.

Kekurangan oksigen akan mengakibatkan otak menjadi bertambah bengkak dan menambahkan lagi tekanan. Seterusnya otak akan mati apabila keadaan ini berterusan dan otak tidak mendapat bekalan oksigen. Kematian otak ini tidak boleh dipulihkan.

Seseorang yang mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain.Sebenarnya jantung mempunyai kebolehan sendiri untuk berdenyut. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan (ventilator) dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika.,

Namun begitu, denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walaupun dengan sokongan yang diberi. Apabila seseorang itu telah disahkah mati otak, bermakna dia telah meninggal dunia.

Bagaimanakah seorang pesakit disahkan mengalami kematian otak?  

Pengesahan kematian otak akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar bertauliah yang tiada kaitan dengan pemindahan organ melalui beberapa ujian-ujian tertentu yang dilakukan ke atas pesakit tersebut. Ini termasuk menguji tindak balas tunjang/batang otak(brainstem reflexes) terhadap kesakitan, cahaya dan keupayaan bernafas.

Ujian ini perlu dilakukan sebanyak dua kali dalam tempoh selang minimum 6 jam. Ujian pengesahan kematian otak dilakukan dengan penuh teliti dan telus. Hasil keputusan ujian pengesahan kematian otak akan dimaklumkan kepada waris.

Setelah disahkan kematian otak, pesakit akan disahkan sebagai mati walaupun jantung masih berdegup. Mesin pernafasan boleh diberhentikan setelah kematian telah disahkan.

Kematian otak adalah kematian yang sah dan diterima di seluruh dunia oleh kumpulan professional serta diakui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan 2011).

MATI JANTUNG TERHENTI

Pada masa ini, di Malaysia, pesakit yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian jantung terhenti (cardiac death), boleh mendermakan semua jenis tisu (termasuk kornea, injap jantung, tulang dan kulit) sahaja.

Ini kerana organ memerlukan oksigen melalui pengaliran dan pembekalan darah. Oleh itu, organ tidak boleh berfungsi sekiranya jantung sudah terhenti. Kematian jantung terhenti adalah keadaan di mana semua fungsi jantung terhenti dan ini merupakan punca utama kematian di Malaysia (2020).

PROSES PEROLEHAN ORGAN DAN TISU SELEPAS KEMATIAN

Pasukan pembedahan hanya akan mengambil organ dan tisu menurut kriteria berikut:

  • organ atau tisu yang telah dipersetujui keluarga/ waris untuk didermakan;
  • terdapat pesakit (bakal penerima) yang berada di senarai menunggu organ; dan
  • organ atau tisu tersebut masih lagi boleh digunakan.

Proses pembedahan mengambil masa di antara 2-8 jam bergantung kepada jenis dan bilangan organ atau tisu yang didermakan.Pembedahan akan dijalankan di dewan bedah dengan hormat dan penuh teliti sebagaimana pembedahan yang dijalankan ke atas orang yang masih hidup. Ia tidak akan mencacatkan rupa bentuk jenazah.

Jika pendermaan kornea mata sahaja yang didermakan, ia boleh dilakukan di Jabatan Forensik (Mortuary /Autopsy Suite).

TEMPOH KETAHANAN & TEMPOH PENYIMPANAN ORGAN DAN TISU SELEPAS KEMATIAN

Pemindahan organ perlu dilakukan segera dan secepat mungkin bergantung kepada jenis organ yang diambil. Ini berdasarkan kepada tempoh ketahanan organ (ischaemic time) seperti berikut:Setiap organ hanya boleh bertahan dalam tempoh tertentu setelah ia dikeluarkan dari badan penderma. Organ berkenaan akan disimpan menggunakan cecair pengawet (preservative fluid) semasa pembungkusan dan mesti ditransplantasikan secepat mungkin kepada pesakit (bakal penerima) yang sedang menunggu di pusat transplantasi terlibat.

PENGENDALIAN JENAZAH PENDERMA SELEPAS KEMATIAN

Pendermaan organ tidak akan menjejaskan rupa bentuk tubuh atau menyebabkan kecacatan fizikal terhadap jenazah. Proses pengendalian jenazah mengikut jenis organ dan tisu adalah seperti berikut:Selepas pendermaan, jenazah penderma akan dibersihkan dan diserahkan kepada keluarga / waris sebaik dan secepat mungkin. Keluarga/ waris akan diberikan bantuan sewajarnya jika diperlukan. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan urusan pengkebumian atau upacara penghormatan kepada jenazah.

KELEBIHAN PENDERMAAN ORGAN DAN TISU SELEPAS KEMATIAN

Kelebihan pendermaan organ/ tisu selepas kematian berbanding pendermaan semasa hidup adalah:

  • Lebih banyak organ dan tisu yang dapat didermakan.
  • Lebih bayanyak pesakit boleh diselamatkan.
  • Memberikan harapan kepada pesakit yang memerlukan transplantasi jantung, paru-paru atau mata.
  • Tiada risiko pembedahan kepada penderma kerana telah meninggal dunia.
  • Memberi peluang kepada pesakit yang mempunyai penderma organ semasa hidup yang menepati kriteria.