Mati otak berlaku apabila tiada aliran darah yang membawa oksigen ke dalam otak termasuk pangkal otak yang mengawal sistem pernafasan dan denyutan jantung. Ini boleh terjadi akibat kecederaan ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk menyebabkan otak menjadi bengkak.

Oleh kerana otak berada di dalam rangka kepala yang keras, apabila otak bengkak atau pendarahan dalam kepala yang teruk berlaku, tekanan di dalam kepala akan meningkat dengan mendadak. Ini boleh menjejaskan lagi pengaliran darah yang membawa oksigen ke otak. Tanpa oksigen, otak akan bertambah rosak dan bengkak sehingga akhirnya otak akan mati.

Pesakit yang mati otak tidak mempunyai tindakbalas dan tidak bernafas tetapi oleh kerana bantuan pernafasan diberi dengan mesin (ventilator) jantungnya masih berfungsi buat seketika. Kematian otak menyebabkan organ-organ yang lain akan turut mengalami kerosakan dan akhirnya jantung akan berhenti.  Oleh yang demikian, apabila pesakit disahkan mati otak oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan , ini bermakna pesakit tersebut telah pun meninggal dunia dan mesin pernafasan akan diberhentikan. Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diguna pakai di seluruh dunia dan doktor pakar yang mengesahkan kematian otak tidak mempunyai kaitan dengan bidang transplan.

Organ & Tisu Yang Boleh Didermakan Oleh Penderma Mati Otak