Kurang faham derma organ

Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendermaan organ tidak hanya membabitkan pesakit dengan individu yang sudah meninggal dunia tetapi individu yang mati otak juga boleh melakukan proses berkenaan.

 

Eksekutif Pendidikan Awam Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) Ernie Syafika Zamri berkata, kebanyakan masyarakat masih kurang tahu mengenai perbezaan antara mati otak dan mati selepas jantung berhenti.

“Mati otak adalah satu keadaan yang mana segala fungsi otak sudah terhenti dan tidak dapat dipulihkan semula serta individu itu bergantung kepada mesin ventilator sebagai alat sokongan pernafasan.

“Ia terjadi disebabkan oleh penyakit angin ahmar, jangkitan, barah, pendarahan atau kecederaan pada otak yang teruk,” katanya ketika ditemui pada ‘Health Talk: Organ Donation’ anjuran NKF di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), semalam.

Menurutnya, setiap penderma mampu menyelamatkan lapan nyawa pesakit, namun ia bergantung kepada keadaan penderma ketika itu juga.

“Bagi penderma yang mati selepas jantung berhenti, mereka hanya boleh mendermakan tisu kornea, injap jantung, tulang dan kulit, manakala penderma yang mati otak boleh mendermakan tisu dan organnya iaitu jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang.

“Berbeza dengan penderma yang meninggal di rumah, hanya pendermaan mata saja diambil yang boleh dilakukan akibat kekangan masa bagi organ lain untuk bertahan,” katanya.

Setakat ini, 19,498 pesakit di seluruh negara masih menunggu penderma yang bersesuaian bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seharian normal seperti orang lain.

“Jumlah itu mencatatkan pesakit memerlukan buah pinggang adalah yang tertinggi iaitu 19,479,” katanya.

Ernie Syafika berkata, semua individu boleh mendaftar menjadi pengikrar penderma organ kecuali pesakit HIV, AIDS, Hepatitis, B dan C serta sifilis.

“Kebenaran ibu bapa diperlukan bagi mereka berusia bawah 18 tahun dan pengikrar penderma organ dinasihatkan memberitahu ahli keluarga mengenai hasrat mendermakan organ selepas mereka meninggal dunia bagi mengelakkan timbulnya masalah untuk proses pengambilan organ.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ boleh melayari www.dermaorgan.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:31 AM

 

 

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *