Pemindahan atau transplan organ terbukti sebagai kaedah rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir (end stage organ failure), termasuk kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

Transplan organ dan tisu boleh juga meningkatkan taraf kehidupan pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ seperti:

Transplan Buah Pinggang / Ginjal
Meskipun terdapat rawatan alternatif iaitu dialisis, transplan buah pinggang merupakan satu kaedah rawatan yang lebih baik dari segi kos dan ia mampu memberikan kualiti kehidupan yang jauh lebih baik kepada penerima.
.
Transplan Kornea Mata
Transplantasi kornea mampu mengembalikan semula penglihatan atau mengurangkan kerosakan dan kesakitan yang dialami oleh pesakit.
.
Transplan Tulang
Transplan tulang boleh menggantikan bahagian tulang yang rosak, contohnya disebabkan oleh barah atau trauma akibat kemalangan.
.
Transplan Injap jantung

Transplan injap jantung boleh menggantikan injap jantung yang rosak, contohnya pesakit kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah injap jantung (congenital) dan bagi pesakit dewasa yang mengalami kerosakan injap jantung.

.

Transplan Kulit
Kulit yang didermakan boleh digunakan untuk menampal bahagian tubuh yang kehilangan kulit akibat kelecuran atau kebakaran. Ia oleh mengurangkan kehilangan cecair dalaman badan dan risiko jangkitan, di samping mempercepatkan proses penyembuhan, mengurangkan kesakitan dan kesan parut.