Semasa hamil, nutrien dan oksigen dipindahkan kepada bayi melalui perantaraan tali pusat.  Tali pusat ini amat penting untuk menjamin kesihatan bayi. Selepas bersalin, ia tidak lagi diperlukan dan seringkali dibuang.  Darah yang tinggal di dalam tali pusat sebenarnya amat berharga dan dapat menyelamatkan pesakit yang memerlukan.

Darah tali pusat kaya dengan sel stem darah hemopoeitik yang merupakan sel awal dalam sistem darah. Darah tali pusat adalah istimewa kerana berpotensi untuk membentuk  pelbagai komponen darah dan sistem imun badan.

Pengambilan darah tali pusat  dilakukan serta merta selepas proses kelahiran selesai dan tidak mengganggu proses bersalin.

Soalan Lazim

Di mana pendermaan boleh dilakukan?

Pada masa ini pendermaan boleh dilakukan di beberapa pusat pengumpulan iaitu:

  • Hospital Kuala Lumpur
  • Hospital Selayang, Selangor
  • Hospital Serdang, Selangor
  • Hospital Ampang, Selangor
  • Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah
  • Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah
  • Hospital Tuanku Fauziah, Perlis

Lebih banyak pusat pengumpulan darah tali pusat akan diwujudkan pada masa hadapan.

Siapa yang boleh menderma?

Berikut adalah garis panduan umum kelayakkan pendermaan:

  • Ibu yang berumur 18 tahun dan ke atas
  • Telah berkahwin dan bukan seorang ibu tunggal
  • Warganegara Malaysia
  • Usia kandungan 36 minggu dan ke atas
  • Anda dan pasangan anda bukan penghidap HIV positif
  • Anda bukan seorang pembawa Hepatitis B atau C
  • Anda tidak bekerja sebagai pelacur
  • Anda tidak mengadakan hubungan seksual dengan seorang lelaki homoseksual
  • Anda tidak mengadakan hubungan seksual dengan pesakit Haemophilia yang pernah menerima rawatan factor concentrates
  • Anda dan pasangan tidak menghidap penyakit yang kronik
  • Anda dan pasangan tiada sejarah menghidap penyakit genetik

Bagaimana pendermaan darah tali pusat dilakukan?

Proses Pendermaan Darah Tali Pusat

i.          Pasangan yang berminat perlu mendapatkan maklumat pendermaan terlebih dahulu di laman web Pusat Darah Negara/Pusat Sumber Transplan Negara, menghubungi Pusat Darah Negara atau mendapatkan maklumat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di pusat-pusat pengumpulan darah tali pusat yang telah dinyatakan.

ii.          Temubual terhadap penderma oleh pegawai perubatan atau jururawat terlatih dijalankan untuk memastikan kriteria penderma dipenuhi. Sejarah perubatan keluarga, gaya hidup dan sejarah seksual akan ditanya untuk membantu menentukan kesesuaian penderma sebelum proses pendermaan dijalankan.

iii.          Penderma yang layak perlu menandatangani borang kebenaran pendermaan dan soal selidik status kesihatan. Sesi kaunseling terhadap ibu akan dijalankan supaya proses pendermaan dapat difahami dengan jelas. Borang kebenaran pendermaan perlu dibawa bersama-sama apabila memasuki dewan bersalin.

iv.          Darah ibu diambil untuk tujuan ujian makmal bagi memastikan darah tali pusat yang didermakan berada dalam keadaan baik dan berkualiti.

v.          Pengumpulan darah tali pusat dilakukan selepas bayi selamat dilahirkan sementara menunggu uri dikeluarkan. Prosedur pengumpulan darah tali pusat adalah selamat, tidak menyakitkan dan tidak membahayakan bayi dan ibu.

Apakah kesan sampingan pendermaan sel stem darah?

Proses pengambilan darah tali pusat adalah selamat kepada bayi ataupun ibu yang bersalin. Tiada darah yang diambil dairpada bayi yang telah dilahirkan.

Apa yang akan dilakukan ke atas darah yang telah dikumpul?

Selesai proses pengumpulan, darah tali pusat akan diproses dan akan melalui beberapa proses  ujian bagi memastikan darah adalah selamat dan berkualiti.  Jika telah dipastikan sesuai, darah tali pusat tersebut akan disimpan bagi tempoh yang lama.

Adakah uri akan diambil sekali bersama darah tali pusat?

Sebaik sahaja proses pengumpulan darah tali pusat selesai, uri akan dikembalikan kepada ibu.

Bolehkah penderma menggunakan darah tali pusat yang telah didermakan untuk kegunaan sendiri?

Kebarangkalian seorang penderma menggunakan darah tali pusatnya sendiri adalah 0.004% (1:2500) hingga 0.0005% (1:200,000).

(Abstract  Biology of Blood and Marrow Transplant Transplantation, 2008; American Society of Blood & Marrow Transplantation).

Darah tali pusat yang telah didermakan akan disimpan dan diberikan kepada pesakit yang sesuai. Bagi penderma yang memerlukan darah tali pusatnya sendiri, pemindahan darah boleh dijalankan sekiranya darah tali pusat yang telah didermakan masih berada dalam simpanan serta telah berbincang dan mendapat persetujuaan daripada pakar yang merawat pesakit.

Bolehkah saya memberikan darah tali pusat yang telah saya dermakan kepada ahli keluarga atau rakan?

Darah tali pusat yang telah didermakan adalah bertujuan untuk kegunaan orang lain dan bukan untuk kegunaan sendiri.

Maklumat lanjut

Untuk maklumat tambahan mengenai derma darah tali pusat, sila layari:
www.pdn.gov.my
 
Atau hubungi:
Bank Darah Tali Pusat Nasional,
Pusat Darah Negara,
Jalan Tun Razak,
50400 Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Tel : (603) 26132688
Fax : (603) 26980362