logo-mscr

Pengenalan

Setiap tahun ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan darah seperti leukaemia, aplastic anaemia dan thalasaemia. Salah satu cara untuk merawat penyakit tersebut ialah melalui pemindahan/transplan sel stem darah dari penderma sel stem darah yang sepadan dengan pesakit.

Pesakit yang tidak mempunyai penderma dalam kalangan ahli keluarga masih mempunyai harapan iaitu daripada penderma yang mendaftar menerusi Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR) atau Bank Darah Tali Pusat.

Soalan Lazim Berkaitan Sel Stem Darah

Apakah Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR)?

Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR) atau sebelum ini dikenali sebagai Daftar Sum-sum Malaysia (MMDR) ditubuhkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada tahun 2000.

MSCR merupakan pangkalan data berkomputer yang menyenaraikan penderma sel stem darah di Malaysia.

Siapa yang boleh mendaftar sebagai ahli MSCR?

  • Warganegara Malaysia
  • Umur 18 – 50 tahun
  • Sihat tubuh badan
  • Bebas daripada penyakit berjangkit dan penyakit kronik

Bagaimana untuk mendaftar sebagai ahli MSCR?

  • Sekiranya anda bersetuju untuk mendaftar, anda dikehendaki mengisi borang kebenaran supaya maklumat anda boleh dimasukkan ke dalam pangkalan data.
  • 10 ml darah atau 2 ml air liur anda akan diambil untuk ujian penentuan Human Leukocyte Antigen (HLA) .
  • Kemudian, maklumat anda dan keputusan ujian HLA akan dimasukkan ke dalam pangkalan data berkomputer MSCR.

Bagaimana pendermaan sel stem darah dilakukan?

  • Sekiranya keputusan ujian HLA anda sepadan dengan pesakit, wakil MSCR akan menghubungi anda untuk mendapatkan sampel darah baru bagi ujian pengesahan HLA.
  • Anda akan menjalani sesi kaunseling dan pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan hematologi.
  • Sel stem akan diambil dari salur darah anda.
  • Tiada kesan sampingan yang berbahaya selepas pendermaan dijalankan.

Apakah kemudahan yang akan diterima oleh penderma yang telah menderma sel stem darah?

  • Penderma sel stem darah yang telah menderma akan menerima Kad Pengesahan Penderma Organ/Sel Stem Darah.
  • Pemegang kad ini layak untuk diberi kemudahan wad kelas pertama secara percuma serta pengecualian bil hospital (samada sebagai pesakit luar atau pesakit dalam) seumur hidup.
  • Maklumat lanjut berkenaan kemudahan ini boleh didapati di Portal Rasmi KKM

Video: Pendermaan Sel Stem Darah.

Video ini diterbitkan pada tahun 2011 oleh Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan; Bahagian Pendidikan Kesihatan; Institut Penyelidikan Perubatan; Pusat Darah Negara; Jabatan Hematologi Hospital Ampang; Pusat Sumber Transplan Nasional dan Unit Perkhidmatan O&G dan Pediatrik, Bahagian Perkembangan Perubatan.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi kami di:

Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR),
Institut Penyelidikan Perubatan,
Jalan Pahang,
50588 Kuala Lumpur.
Tel: +603-2616 2666
Faks: +603-2691 2019
Email: mscr@imr.gov.my

Waktu Operasi: 8.30 pagi-4.00 petang (Isnin-Jumaat)