World Health Organization mengistilahkan transplantasi atau transplan sebagai pemindahan sel, tisu atau organ manusia daripada penderma kepada penerima dengan tujuan mengembalikan fungsi-fungsi penting badan.¹

Secara mudahnya, transplan adalah proses memindahkan dan menggantikan organ atau tisu yang tidak berfungsi dengan organ atau tisu yang sihat dan masih berfungsi daripada orang lain.

Penyelidikan transplan di peringkat antarabangsa bermula sejak kurun ke-18. Ketika ini, ia merupakan rawatan perubatan rutin untuk kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang.

Peningkatan pemahaman terhadap kumpulan darah dan kesepadanan tisu antara penderma dan penerima, penggunaan rawatan anti-penolakan serta teknik pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan yang lebih baik, kesemuanya menyumbang kepada outcome lebih baik dan pengurangan risiko penolakan, di mana terdapat kemungkinan sistem pertahanan penerima menolak organ yang telah ditransplankan.

Perkembangan teknologi perubatan dan peningkatan kesedaran telah menyebabkan masyarakat tidak lagi menganggapnya sebagai taboo, dan semakin ramai berpeluang menjalani hidup yang lebih panjang.

¹ Global Glossary of Terms and Definitions on Donation and Transplantation, Geneva Nov. 2009.